Surah Al Baqara Ayat 62-69.
Surah Al-Baqara
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasaara
(Nasrani) dan orang-orang Saabiin, sesiapa di antara mereka itu beriman
kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh,
maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka dan tidak ada
kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka dan
mereka pula tidak akan berdukacita. (62) Dan
(ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami
angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): Terimalah
Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan
bersungguh-sungguh dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di
dalamnya, supaya kamu bertakwa. (63) Kemudian
sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak
menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan
belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya
menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi. (64) Dan
sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat)
orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu,
lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina". (65) Maka
Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi
orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian
dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa. (66) Dan
(ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya
Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka
berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa
menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang
dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)".
(67) Mereka
berkata pula: "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?". Nabi
Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu
ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda,
pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang
diperintahkan kepada kamu melakukannya". (68) Mereka
berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami apa warnanya?". Nabi Musa menjawab:
"Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor
lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang
melihatnya". (69)
Comments
Post a Comment