Surah Al Baqarah Ayat 58-61.
Surah Al-Baqara
Dan
(kenangkanlah) ketika Kami berfirman: Masuklah kamu ke bandar ini,
kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan
sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai dan masuklah kamu melalui
pintunya dengan tunduk (merendah diri) dan (mintalah ampun dengan)
berkata: Ya Allah ampunilah dosa kami; supaya Kami ampunkan
kesalahan-kesalahan kamu dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang
yang berbuat baik. (58) Kemudian
orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah
Kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka
Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari
langit dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka). (59) Dan
(ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya,
maka Kami berfirman: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu", (dia pun
memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air;
sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui
tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): Makanlah dan
minumlah kamu dari rezeki Allah itu dan janganlah kamu merebakkan
bencana kerosakan di muka bumi. (60) Dan
(kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar
(sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada
Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa
yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya dan mentimunnya dan bawang
putihnya dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya". Nabi Musa
menjawab: "Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan
meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana
kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu". Dan mereka ditimpakan dengan
kehinaan dan kepapaan dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan
dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur
(mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat
yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi
dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan
mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh. / (61)
Comments
Post a Comment